Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.
Pejam-celik, pejam-celik, cuti sekolah hanya tinggal beberapa belas hari saja lagi. Begitu pantas masa meninggalkan kita. Adakah anak-anak kita telah menggunakan masa sebaiknya semasa cuti ini? Adakah cuti hujung tahun ini dapat meninggalkan kesan yang baik untuk anak-anak kita memulakan sesi pembelajaran baru? Harapan kita semoga masa mereka diisi dengan aktiviti-aktiviti berfaedah.
Baiklah, sesi pembelajaran baru akan tiba, kitar pembelajaran baru akan bermula semula. Sebelum itu, apa kata jika merenung kembali ke masa lepas, mungkin ada beberapa perkara yang boleh kita pelajari darinya. Ada murid-murid yang telah menerima report card sebelum cuti ini dan sebahagian yang lainnya bakal menerimanya diawal tahun.
Ada murid yang mendapat keputusan cemerlang, sederhana dan kurang memuaskan. Keputusan ini memberi gambaran tentang usaha murid tersebut sepanjang tahun. Keputusan yang diterima bukanlah boleh terjadi secara tiba-tiba atau cepat, ianya satu proses yang berterusan, dari awal ke pertengahan tahun dan ke akhir sesi. 2010 Perkara ini memang bersesuaian dengan proses pembelajaran, yang sedikit demi sedikit akhirnya jadi bukit.
Tapi mengapa ada murid yang cemerlang dan sebaliknya? Murid yang merancang untuk kejayaan bakal mendapatkannya, sebaliknya murid yang gagal merancang, sebenarnya merancang untuk gagal. Jadi bagaimana peranan kita sebagai ibu/bapa untuk membantu?
Ada beberapa perkara yang boleh kita cuba:
1. Sentiasa berbincang dengan anak-anak tentang pelajaran, biasanya mereka akan menjawab ok, jadi ibu/bapa boleh memulakan perbincangan dengan meminta anak-anak menceritakan tentang suasana pembelajaran di sekolah, tentang guru-guru dan kawan-kawan. Perbincangan dengan suasana ceria dan tanpa tekanan membolehkan anak-anak bercerita dengan lebih lanjut.
2.Semaklah kerja rumah mereka. Guru-guru memberikan kerja rumah untuk memastikan anak-anak murid mereka memahami topik-topik yang diajar dalam masa yang sama memberi pengukuhan dalam pemahaman dan ingatan.
3. Sentiasa berkomunikasi dengan guru-guru, mengenai prestasi anak-anak dan bagaimana kelemahan mereka boleh dibantu. Guru-guru sedia membantu, lebih-lebih lagi pihak ibu/bapa/penjaga memainkan peranan yang proaktif
4. Kenalilah kawan-kawan mereka, ibu/bapa boleh memainkan peranan untuk menjadikan rumah mereka, sebagai tempat study group.
5. Kenalpasti perubahan sikap mereka, dan berikankanlah pada mereka mesej samada secara langsung atau tidak, bahawa kita sebagai ibu/bapa sedia mendengar dan membantu apa-apa permasalahan mereka.
Marilah kita mulakan hari ini juga. Kejayaan anak-anak adalah kejayaan kita bersama.
No comments:
Post a Comment